Sunday 21 August 2011

PANDUAN MENENTUKAN IMBUHAN YANG BETUL


1.         pelantikan atau perlantikan
            kata dasar = lantik                  kata kerja transitif = melantik
            rumus - meN-… akan berpadanan dengan peN-…
            rumus - beR-… akan berpadanan dengan peR-…
            melantik - pelantikan      melucut  - pelucutan    meletakkan - peletakan
            melanggar (pelanggaran)    berlanggar (perlanggaran)

2.         memperbesar atau memperbesarkan
            kata dasar = besar                  golongan kata = kata adjektif
            rumus - apitan memper-…-kan = kata nama, kata kerja
            rumus - apitan memper-… = kata adjektif
            = memperbesar (/) memperbesarkan (X)
            = mempertingkatkan (/) mempertingkat (X)
= mempersembahkan (/) mempersembah (X)
perbezaan antara ‘membesarkan’ dengan ‘memperbesar’
-          meN-…-kan = menjadikan sesuatu bersifat dengan adjektif itu
-          memper-…  = menjadikan sesuatu bersifat lebih
= membesarkan - menjadikan sesuatu yang kecil lebih besar
= memperbesar - menjadikan sesuatu yang sedia besar lebih besar                       

3.         p, t, k, dan s
            - kata dasar yang bermula dengan konsonan p, t, k, dan s akan diluluhkan   
              apabila diimbuhkan dengan imbuhan meN-… dan peN-…
            - pasti              - memastikan              mempastikan (X)
            - kagum           - mengagumkan         mengkagumkan (X)
            - tari                 - menari
            - sejahtera       - menyejahterakan      mensejahterakan (X)

4.         awalan beR-…
            - melalui rumus disimilasi, apabila suku kata pertama kata dasar mempunyai -er-,
            maka imbuhan ber akan menjadi be, contohnya kerja akan menjadi bekerja.
-          yang lain tidak demikian seperti bercermin, berserta, berserban, dan
berterbangan.
- begitu juga dengan tersergam dan terserlah.

5.         ‘k’ atau ‘kk’
            - kata nama terbitan tidak ada yang berakhiran -kan.
            - kata kerja terbitan tidak ada yang berakhiran -an.
            - galak = Galakan yang diterima daripada gurunya amat dihargai.
                        = Gurunya menggalakkan dia melibatkan diri dalam kegiatan sukan.
            - kebanyakan / kebanyakkan             membanyakan / membanyakkan

6.         ‘g’ atau ‘gg’
            - gali - menggali            gembala - menggembala    *mengembala/mengiurkan (X)
            - gosok – menggosok   gubal - menggubal                gerak - menggerakkan

Saturday 6 August 2011

KARANGAN SPM - DIMENSI GLOBAL / ANTARABANGSA


Pelaburan asing memainkan peranan yang penting dalam proses pembangunan sesebuah negara. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu dijalankan bagi menggalakkan pelaburan asing di negara ini?

                Pelaburan asing merupakan nadi penggerak sesebuah negara. Faktor utama yang menyebabkan peranan pelaburan asing kian penting dewasa ini ialah keupayaan kegiatan ini meningkatkan pendapatan negara. Pelaburan asing bukan sahaja menjana pertumbuhan ekonomi negara, tetapi juga meningkatkan guna tenaga dalam kalangan para pekerja. Tambahan pula, pelaburan asing merupakan salah satu cara yang paling mudah dan menjimatkan pembiayaan penghantaran rakyat ke luar negara untuk memperoleh kepakaran serta kemahiran. Hal ini disebabkan pelaburan asing sebenarnya mempercepat pemindahan teknologi dan kepakaran dalam pelbagai aktiviti ekonomi. Negara-negara pelabur lazim di negara kita ialah Amerika Syarikat, Jepun, Jerman, Taiwan, Singapura, dan Hong Kong.    Buktinya pelabur asing Jepun menyumbangkan lebih daripada RM300 billion kepada pendapatan negara kita.   Rentetan itu, kerajaan Malaysia amat menggalakkan pelaburan asing secara langsung di negara ini.   Persoalannya, apakah langkah yang perlu dijalankan oleh negara Malaysia bagi menarik pelaburan asing ?

                Kestabilan politik merupakan kunci utama dalam usaha menggalakkan pelaburan asing. Kestabilan politik Malaysia sejak 1970-an masih terpelihara hingga sekarang.     Meskipun tanah Indonesia adalah murah bahkan terdapat bekalan kerja yang murah belaka, namun Indonesia sentiasa huru-hara disebabkan oleh rusuhan kaum.    Rakyat Indonesia berpecah-belah berbanding  rakyat Malaysia yang bersatu-padu walhal terdiri daripada berbilang kaum.    Pemimpin negara-negara sedang membangun yang lain seperti Indonesia dan Filipina sentiasa bertukar tetapi keadaan politik mereka tetap sama seperti asal.    Sistem pemerintahan demokrasi Malaysia mengamalkan dasar terbuka bagi para pengilang.    Semasa kegawatan ekonomi melanda dunia pada tahun 1997, Malaysia masih berjaya mengadakan Sukan Komanwell dengan jayanya pada tahun 1998.    Kemampuan bekas Perdana Menteri Malaysia yakni Tun Dr. Mahathir Mohammad mengawal ekonomi negara amat dikagumi masyarakat Malaysia dan seantero dunia.    Beliau telah menetapkan RM3.50 kepada satu dolar Amerika Syarikat dan langkah tersebut telah berjaya menyelamatkan Malaysia daripada turut berhutang dengan International Monetary Fund (IMF).     Kebolehan Malaysia melalui tempoh kegawatan ekonomi malah menjadi negara sedang membangun yang paling maju di seluruh dunia meyakinkan para pelabur asing tentang potensi Malaysia sebagai pusat pelaburan mereka.

                Di samping itu, hubungan bilateral dan multilateral harus dieratkan bagi mewujudkan hubungan perdagangan antara Malaysia dengan negara lain.    Hubungan bilateral diperkukuh melalui lawatan diplomatik sama ada oleh Yang Dipertuan Agong, Perdana Menteri atau Menteri Perdagangan Antarabangasa ke negara-negara lain.    Contohnya baru-baru ini  Perdana Menteri Malaysia telah mengadakan lawatan  ke Arab Saudi untuk membaharui hubungan diplomatik.     Dalam suatu lawatan Perdana Menteri ke Dubai, rakyat Dubai akan membuka kilang di Malaysia manakala rakyat Malaysia akan membuka kilang di Dubai juga.     Usaha turut sama dijalankan oleh pelabur Indonesia dengan pelabur Malaysia di kedua-dua buah negara dengan tujuan mendapatkan keuntungan.    Oleh itu, jelaslah bahawa hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara lain sejak Malaysia menjadi negara berkecuali hingga sekarang amat berkesan untuk meningkatkan pelaburan asing di negara kita.

                Selain itu, kerajaan Malaysia juga perlu terus menghantar rombongan penggalak pelaburan ke luar negara dengan matlamat mempertingkatkan pelaburan asing.   Berpandukan misi pelaburan ini, rombongan terbabit  biasanya diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang akan berperanan berucap dan menyatakan kelebihan Malaysia kepada para pelabur asing di luar negara.    Ekspo perdagangan dan pameran akan diadakan di luar negara bagi menonjolkan faktor-faktor tarikan Malaysia yang sesuai dijadikan tempat pelaburan. Seminar pelaburan turut diadakan oleh rombongan tersebut. Tambahan pula, seminar dan mesyuarat tentang kelebihan melabur di Malaysia juga diadakan di luar negara. Laporan dan promosi tentang insentif terbaru melabur di Malaysia juga harus diadakan oleh pihak media massa antarabangsa .  Oleh itu, jelaslah penghantaran rombongan penggalak pelaburan  ke negara kita mampu meningkatkan pelabur asing di Malaysia
    
                Bukan itu sahaja, zon perdagangan yang sesuai dan lengkap dengan segala kemudahan infrastruktur perlu diperbanyakkan oleh kerajaan Malaysia.    Tapak perusahaan yang strategik juga harus diperbanyakkan.    Prasarana seperti sistem pengangkutan yang sistematik, bekalan elektrik dan air yang berterusan, serta sistem telekomunikasi yang cekap harus disediakan untuk kemudahan kilang-kilang beroperasi.   Zon perdagangan ini haruslah dekat dengan sumber bahan mentah agar bahan mentah terutamanya hasil pertanian seperti kelapa sawit tidak busuk sebelum sampai ke destinasi.     Contoh zon perdagangan ialah di Shah Alam, di Batu Berendam, di Alor Gajah, di Gurun dan di Senawang. Lebih banyak kawasan harus dijadikan zon perdagangan bebas (FTZ) seperti di Bayan Lepas Pulau Pinang untuk menarik minat pelabur asing.     Rumusannya, pelabur baru amat mengutamakan zon perdagangan yang lengkap dengan segala infrastruktur yang terancang.

                Sementelahan itu, faktor tenaga buruh turut memainkan peranan penting menarik pelabur asing ke negara kita.     Daya produktiviti sesebuah kilang akan meningkat dengan adanya banyak tenaga kerja yang mahir dan pakar.    Oleh itu, jumlah rancangan latihan kepakaran harus ditingkatkan oleh kerajaan Malaysia dengan bantuan agensi-agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN).    Kerajaan juga perlu memastikan latihan vokasional adalah cukup untuk memenuhi keperluan guna tenaga dan tuntutan seazaman.     Pekerja-pekerja juga harus mempunyai etika kerja yang murni dan tidak menyeleweng wang syarikat serta mengamalkan gejala rasuah seperti pekerja negara dunia ketiga yang lain terutamanya Bangladesh dan Indonesia, demi memelihara maruah negara kita yang berdaulat ini.    Rentetan itu, para pekerja haruslah sentiasa diberikan latihan agar kepakaran mereka sejajar dengan perkembangan semasa.


                Tuntasnya, kita tidak harus terlalu ghairah menggalakkan pelaburan asing sehingga membebankan kerajaan.    Syarat pelaburan asing haruslah sama dengan syarat pelaburan tempatan agar pelaburan tempatan tidak tergugat.     Janganlah bersikap seperti ‘kera di hutan disusui, anak di pangkuan dilepaskan’ dalam menentukan syarat-syarat pelaburan asing sebaliknya sikap ‘menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak’, harus diamalkan.    Rakyat tempatan sewajarnya menganggap pelabur asing sebagai pesaing dan turut sama melabur dengan bijak.     Kerajaan pula patut berhati-hati memilih pelabur asing agar pelaburan tersebut dapat menguntungkan sekali gus keunggulan Malaysia semakin menyerlah di arena antarabangsa.     Semoga pelaburan ini menjadi pembuka laluan kepada masa depan negara yang gemilang.

Thursday 4 August 2011

KAEDAH PENYAMPAIAN PANTUN


Pengenalan
Pantun  berasal dari daerah Nusantara.  Maksudnya, pantun  tidak berasaskan  sumber asing seperti India, China, atau Jawa.  Pantun adalah milik orang Melayu, dihasilkan oleh manusia Melayu dan mencerminkan peribadi, nilai, dan minda Melayu. Pantun juga terdapat  dalam kebanyakan masyarakat peribumi di seluruh Kepaulauan Melayu, termasuk Selatan Filipina, juga di luar Dunia Melayu seperti Sri Lanka dan Wilayah Thai Selatan (Kajian Zakiah Hanum 1996: 183 dlm. Karya Agung:  Bingkisan Permata, 2001:  iix).  Oleh yang demikian, cara penyampaian pantun atau cara pengekspresiannya juga dengan cara yang kemelayuan atau sekurang-kurangnya kenusantaraan.  Maksud pemakalah adalah seperti subtopik yang berikut:

Mimik muka
            Oleh sebab pantun khazanah Melayu yang betul (Pendeta Za’ba), maka semasa berpoantun, disyorkan si pemantun hendak bermanis muka, ceria, dan menunjukkan lambang insan yang tenang, berlapang dada, besahaja, dan tidak menggambarkan kegementaran, kekusutan, kesombongan, keangkuhan, dan keegoaan.  Sukar bagi saya menggambarkan mimik muka yang sedemikian.  Namun demikian,  pelakuan (mimik muka) boleh kita praktikkan jika kita mengamalkan cara pertuturan yang biasa dan tahu adat istiadat Melayu semasa bertutur dan mengeluarkan pendapat.

Nada suara
            Bunyi dalam setiap baris pantun dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu lembut (rendah)  dan keras (tinggi).  Segala bunyi yang kedua (suku kata yang akhir bagi setiap perkataan diujarkan dengan nada suara yang tinggi atau keras (1961:  225 – 227).  Suku kata yang lain diujarkan dengan lembut.  Berdasarkan pendapat dan cara ini,  pantun  yang diucapkan itu dapat dihayati oleh pemantun dan pendengar.

            Sila teliti contoh pantun-pantun yang berikut:

                        Anak merbah terlompat-lompat
                                    Anak indong ketitiran
                        Yang dilelah tiada dapat
                                    Yang dikendong berciciran.
    
                        Tuai padi antara masak
                                    Esok jangan layu-layuan
                        Intai kami antara nampak
                                    Esok jangan rindu-rinduan

            Semua suku kata yang dicetak tebal dan mereng hendaklah ditinggikan nada suara apabila diujarkan.  Suku kata yang dicetak biasa hendaklah dilembutkan (nada rendah) suara apabila diujarkan.  Demikian juga pantun enam kerat atau lapan kerat, pengujarannya sama seperti penyebutan pantun empat kerat walaupun pantun enam dan lapan kerat kurang diminati oleh pemantun kerana maksudnya memerlukan masa yang lebih panjang untuk difahami.  Contoh:

                                    Nyior gading tinggi menjulang,
                                                Masak ketupat berisi inti,
                                                            Buah delima di dalam cawan;
                                    Hancur daging berkecai tulang,
                                                Belum dapat belum berhenti,
                                                            Hendak bersama denganmu tuan.

                                    Apa diharap padi seberang,
                                                Entah berderai entahkan tidak,
                                                            Entah dimakan pipit melayang;
                                    Apa diharap kekasih orang?
                                                Entak bercerai entahkan tidak,
                                                            Entah makin bertambah sayang.

            Bagi dua rangkap pantun  enam kerat di atas, semua baris, iaitu baris keempat, kelima, dan keenam (yang bercetak tebal dan mereng) ialah maksud pantun.  Sebagaimana yang dinyatakan, pantun ini walaupun lebih terinci tetapi penghuraian maksudnya lebih panjang.  Oleh yang demikian, pantun enam kerat, lapan kerat dan dua belas kerat kurang digemari oleh pemantun kerana lebih lama untuk memainkan nada suara, tinggi dan rendah apabila diujarkan.
  
Bahasa badan

            Bahasa badan atau body language amat sesuai dipraktikkan apabila seseorang berpantun.  Hal ini demikian kerana si pemantun akan dapat menggunakan segala kekuatan suara (to express) semasa pantun diujarkan.  Bahasa badan yang tidak berlebihan (over acting) adalah digalakkan.  Hal ini ada signifikannya dalam penyampaian pantun secara lisan.  Pantun yang disampaikan hanya sekadar pernyataan maksud secara berangkap.  Oleh itu, jika bahasa badan digunakan secara berlebihan, unsur lakonan pula akan disebatikan dalam pengujaran pantun.  Pada hemat saya, aksi yang sebegini kurang sesuai.

             Lebih-lebih lagi, apabila kita kaitkan ujaran pantun dengan unsur budaya, betapa lemah lembut orang Melayu berbicara, maka unsur kelemahlembutan ini perlu diamalkan semasa kita berpantun; sekadar mengangkat tangan pada tempat (pembayang dan maksud) yang sesuai dengan sopan.  Pelakuan ini boleh disekalikan dengan kerut muka, pandangan, kelipan, dan jelingan mata.  Jika yang berpantun seorang wanita pelakuan seperti ini akan memukau khalayak yang menghayatinya.  Contoh:

Baris-baris pantun
Cadangan Bahasa Badan
Apa guna pasang pelita (?)
-tunjukkan pergerakan tangan kanan
 [tanda tanya]
 [muka tepat dihalakan kepada   
  pendengar]
 [mata dengan pandangan biasa]

Kalau tidak dengan sumbunya
-aksi biasa dengan menunjukkan tapak tangan kanan kepada pendengar
[muka tepat dihalakan kepada pendengar]
[muka kehairanan]
Apa guna bermain mata
-halakan jari ke arah mata sendiri
[tanda tanya]
[muka kehairanan]
Kalau tidak dengan sungguhnya
-aksi biasa tetapi menunjukkan rasa tidak berpuas hati.

 
CADANGAN DAN RUMUSAN
            Pantun satu-satunya khazanah bahasa dan budaya Melayu yang indah yang tidak dimiliki oleh bangsa selain bangsa dalam rumpun Melayu.  Nilai tradisi Melayu ini (yang dinyatakan oleh Za’ba sebagai yang betul) hendaknya  janganlah diabaikan.  Jagailah khazanah ini dengan cermat dan perasaan sayang dan cinta.  Oleh itu, pemakalah mencadangkan supaya bentuk tradisi pantun Melayu dipatuhi atur peraturannya, iaitu dari sudut bahasa pengucapannya, kesopanan ketika mengujarkannya. Gaya bahasa yang harus dipelihara ialah dari sudut rima tengah dan hujung yang sama dan diksi yang sesuai.  Maksud sesuai di sini adalah sesuai dari sudut kelogikan makna dan nilai-nilai hidup yang  biasa dalam masyarakat kita.

            Dari sudut teknikal pula, bilangan suku kata yang diizinkan dan yang biasa ialah lapan hingga dua belas suku kata ialah teknik yang  terbaik untuk pantun Melayu diujarkan.  Di samping itu, bahasa yang digunakan ialah bahasa Melayu Baku (ketatabahasaannya) dan sebutan berdasarkan fonemik.  Selain itu, kesopanan semasa berpantun amat dituntut kerana di sinilah letaknya kesepaduan nilai estetika dan kesopanan kita yang berbangsa Melayu.  Justeru, saya berharap dalamilah ilmu tentang pantun yang terdapat dalam budaya yang murni ini.  Semoga dengan penghayatan yang  mendalam dan memahami ilmu pantun, kita dapat menggunakan pantun pada masa yang sesuai.

Monday 1 August 2011

Perihal Kata


1.  Cucuk dan cocok
     Cucuk = tusuk/ benda seperti cucuk sanggul/ penjodoh bilangan – secucuk sate
     Cocok = sama benar/ tepat/sesuai/setuju/seimbang
      * Tidak tepat pengunaan secocok kerana bermaksud sesuai.  
    Se pada kata sesuai bukanlah awalan, tetapi sebahagian kata dasar.

2. Boleh dan Dapat
    Boleh  = ada hubungan dengan keizinan
    Dapat  = ada hubungan dengan keupayaan atau kemampuan .
    *  Oleh sebab hari hujan, saya tidak ( dapat / boleh) hadir ke majlis itu.
    *  Oleh sebab tidak diundang, saya tidak ( dapat / boleh ) menghadiri majlis itu.
    *  ” Malaysia Boleh”   atau ” Malaysia Dapat ” ?

3. Jemput dan Undang
    Jemput  = perbuatan pergi menyambut, menyongsong atau mengambil seseorang
    Undang = perbuatan memanggil atau mempersilakan seseorang menghadiri majlis dll.
    * Saya harus ( mengundang / menjemput ) anak saya di sekolah sekarang .
    * Jika kita ( mengundang / menjemput ) orang, layanlah mereka dengan ikhlas.

4. Satu dan suatu
     Satu = bilangan yang bererti tunggal dan digunakan untuk menunjukkan bilangan.
     Manusia ( seorang budak), untuk haiwan ( seekor monyet), untuk benda (sebuah
     kotak), untuk hal persetujuan ( satu persetujuan ), untuk masa ( satu tahun )
     Suatu  = menyatakan benda, tempat, masa dan hal yang tidak tentu atau tidak
     dapat dipastikan . Misalnya suatu hari bermaksud satu hari yang tidak tentu atau
     yang tidak dapat dipastikan secara tepat.
    * Ali tunduk sahaja, seolah-olah sedang berfikir tentang sesuatu.
    * Satu daripada sebab keruntuhan umat ialah kelemahan peribadi pemimpin.

5. Mesti dan Pasti
    Mesti = wajib, patut dilakukan  ( kata bantu )
    Pasti  = tentu  ( kata adjektif )
    * Jika tidak ada aral apa-apa, saya ( pasti / mesti ) hadir
    * Di pasar raya  ( pasti / mesti ) ada dijual barang yang kamu cari itu.

6. Pendingin hawa  dan Penghawa dingin
    * Dingin tidak memerlukan hawa, dan hawa yang panas perlu didinginkan. Oleh itu,
       kita memerlukan  ( pendingin hawa / penghawa dingin ) . DBP mencadangkan
       penyaman udara   

7. Menjolok Mata dan Mencolok Mata
    Mencolok mata  = mencucuk mata, tampak jelas, kelihatan jelas benar,
    membangkitkan marah orang yang melihat, menyakitkan hati, memberikan malu,
    membangkitkan rangsangan orang yang melihat kerana terlalu berlebih-lebihan.  
    Menjolok mata digunakan kerana kesilapan pendengaran atau menjadi pelaziman
    sehingga / c /  berubah menjadi  / j /
    Contoh lain ialah  ciplak dan jiplak.
    * pakaian peragawati itu ( menjolok   / mencolok)  mata

8. Kata-kata aluan  atau Kata alu-aluan
    Kata dasar bagi bentuk alu-aluan atau aluan ialah alu. Alu dijadikan kata terbitan
    mengalu-alukan untuk menimbulkan makna ”menyambut kedatangan tetamu” .
    * alu  ~ proses penggandaan = alu-alu ~ proses pengimbuhan = mengalu-alukan
    * tidak betul bentuk kata mengalukan dan kata-kata aluan.
    * Yang betul ialah mengalu-alukan dan kata alu-aluan.  
  
9. Kesan dan Akibat
    Kesan = tanda atau bekas yang ditinggalkan oleh sesuatu seperti kesan tapak kaki
               = sesuatu ( sama ada kebaikan atau keburukan ) yang timbul daripada sesuatu
    Kejadian; kesudahan; hasil; akibat.
    Akibat = kesan buruk daripada sesuatu peristiwa ( perbuatan  dll.) ; kesudahan yang
    tidak baik;  padah. 
    * kesan  - sesuatu yang baik dan sesuatu yang buruk .
    * akibat  - terhad kepada sesuatu yang buruk sahaja.
    * Kemajuan industri desa mengakibatkan bertambahnya pendapatan penduduk
       kampung  ( betul  / salah )
    * Banjir besar yang melanda negeri itu mengakibatkan kerosakan harta benda (betul /
       salah )
10. Mengambil perhatian  atau Memberi perhatian
      Kata mengambil atau ambil digunakan apabila kita akan mendapat sesuatu.
      Memberikan perhatian  = mengambil berat / menumpukan perhatian tentang
      sesuatu.
      * Kamu perlu  ( mengambil / memberikan ) perhatian semasa saya mengajar
      * Pasif = Perhatian perlu kamu ( ambil / berikan ) semasa saya mengajar.

11. Hendak dan Mahu
      Hendak  = adanya tujuan atau niat untuk berbuat sesuatu; keinginan sendiri
      Mahu      = adanya pelawaan atau ajakan ; ada pendorong.
      * Saya  (mahu / hendak ) melantik saudara sebagai wakil  dalam mesyuarat itu .

12. Banyak dan Ramai
      Banyak  = kata adjektif dan kata bilangan ( manusia,  haiwan, benda dll.)
      Ramai   =  kata adjektif ( mempunyai hubungan dengan keadaan riuh-rendah,riang,
      gembira, meriah, serba giat, sibuk, tidak sunyi, dan penduduk yang banyak)
      *Banyak / Ramai orang yang masih tidak memahami peraturan itu.

13. Adalah atau Ialah
      Beliau adalah orang yang pertama tiba di sana  ( X )
      Anak adalah anugerah Allah  ( X )
      Perkara ini ialah masalah yang tidak mudah diatasi ( / )
      Calon-calon pertandingan memasak peringkat akhir ialah… ( / )
      Adalah dimaklumkan bahawa …( X )
      Salah satu usaha yang dijalankan adalah dengan menerbitkan risalah… ( / )
      adalah merupakan …( X )
      adalah digalakkan… ( X ) 
     
   14. Tentang dan mengenai
      * Perdana Menteri sering bercakap ( tentang / mengenai ) wawasan negara
      * Usahlah bercerita ( tentang / mengenai ) keburukan orang lain.
      * Anak panah itu ( tentang / mengenai ) sasarannya.
      * Kamu tidak perlu bercerita ( mengenaiku / tentangku) kepada sesiapa pun.
      = Kata “ tentang” tergolong sebagai kata sendi.
      = Kata “ mengenai” pula bebentuk kata kerja . Apitan menN-...-i yang ada padanya
         dengan jelas menunjukkan bentuk kata itu sebagai kata kerja .
      = Kata ”mengenai” dapat pula beralih golongannya menjadi kata sendi apabila 
         sesuatu frasa nama yang mengikutinya dinyatakan dalam bentuk singkat seperti
         ku, mu dan nya.

15. Perihal  kata memperincikan
      Tahukah anda bahawa rupa-rupanya kata memperincikan tidak ada kaitannya sama
       sekali dengan kata inci, iaitu satu unit ukuran dalam sistem imperial. 
     = Kata memperincikan sebenarnya terbit daripada kata dasar ”rinci”.
     = Menurut kamus makksud ”rinci” ialah memecahkan atau membahagikan sesuatu
        kecil-kecil atau menerangkan atau menjelaskan satu per satu.