Monday, 1 August 2011

Perihal Kata


1.  Cucuk dan cocok
     Cucuk = tusuk/ benda seperti cucuk sanggul/ penjodoh bilangan – secucuk sate
     Cocok = sama benar/ tepat/sesuai/setuju/seimbang
      * Tidak tepat pengunaan secocok kerana bermaksud sesuai.  
    Se pada kata sesuai bukanlah awalan, tetapi sebahagian kata dasar.

2. Boleh dan Dapat
    Boleh  = ada hubungan dengan keizinan
    Dapat  = ada hubungan dengan keupayaan atau kemampuan .
    *  Oleh sebab hari hujan, saya tidak ( dapat / boleh) hadir ke majlis itu.
    *  Oleh sebab tidak diundang, saya tidak ( dapat / boleh ) menghadiri majlis itu.
    *  ” Malaysia Boleh”   atau ” Malaysia Dapat ” ?

3. Jemput dan Undang
    Jemput  = perbuatan pergi menyambut, menyongsong atau mengambil seseorang
    Undang = perbuatan memanggil atau mempersilakan seseorang menghadiri majlis dll.
    * Saya harus ( mengundang / menjemput ) anak saya di sekolah sekarang .
    * Jika kita ( mengundang / menjemput ) orang, layanlah mereka dengan ikhlas.

4. Satu dan suatu
     Satu = bilangan yang bererti tunggal dan digunakan untuk menunjukkan bilangan.
     Manusia ( seorang budak), untuk haiwan ( seekor monyet), untuk benda (sebuah
     kotak), untuk hal persetujuan ( satu persetujuan ), untuk masa ( satu tahun )
     Suatu  = menyatakan benda, tempat, masa dan hal yang tidak tentu atau tidak
     dapat dipastikan . Misalnya suatu hari bermaksud satu hari yang tidak tentu atau
     yang tidak dapat dipastikan secara tepat.
    * Ali tunduk sahaja, seolah-olah sedang berfikir tentang sesuatu.
    * Satu daripada sebab keruntuhan umat ialah kelemahan peribadi pemimpin.

5. Mesti dan Pasti
    Mesti = wajib, patut dilakukan  ( kata bantu )
    Pasti  = tentu  ( kata adjektif )
    * Jika tidak ada aral apa-apa, saya ( pasti / mesti ) hadir
    * Di pasar raya  ( pasti / mesti ) ada dijual barang yang kamu cari itu.

6. Pendingin hawa  dan Penghawa dingin
    * Dingin tidak memerlukan hawa, dan hawa yang panas perlu didinginkan. Oleh itu,
       kita memerlukan  ( pendingin hawa / penghawa dingin ) . DBP mencadangkan
       penyaman udara   

7. Menjolok Mata dan Mencolok Mata
    Mencolok mata  = mencucuk mata, tampak jelas, kelihatan jelas benar,
    membangkitkan marah orang yang melihat, menyakitkan hati, memberikan malu,
    membangkitkan rangsangan orang yang melihat kerana terlalu berlebih-lebihan.  
    Menjolok mata digunakan kerana kesilapan pendengaran atau menjadi pelaziman
    sehingga / c /  berubah menjadi  / j /
    Contoh lain ialah  ciplak dan jiplak.
    * pakaian peragawati itu ( menjolok   / mencolok)  mata

8. Kata-kata aluan  atau Kata alu-aluan
    Kata dasar bagi bentuk alu-aluan atau aluan ialah alu. Alu dijadikan kata terbitan
    mengalu-alukan untuk menimbulkan makna ”menyambut kedatangan tetamu” .
    * alu  ~ proses penggandaan = alu-alu ~ proses pengimbuhan = mengalu-alukan
    * tidak betul bentuk kata mengalukan dan kata-kata aluan.
    * Yang betul ialah mengalu-alukan dan kata alu-aluan.  
  
9. Kesan dan Akibat
    Kesan = tanda atau bekas yang ditinggalkan oleh sesuatu seperti kesan tapak kaki
               = sesuatu ( sama ada kebaikan atau keburukan ) yang timbul daripada sesuatu
    Kejadian; kesudahan; hasil; akibat.
    Akibat = kesan buruk daripada sesuatu peristiwa ( perbuatan  dll.) ; kesudahan yang
    tidak baik;  padah. 
    * kesan  - sesuatu yang baik dan sesuatu yang buruk .
    * akibat  - terhad kepada sesuatu yang buruk sahaja.
    * Kemajuan industri desa mengakibatkan bertambahnya pendapatan penduduk
       kampung  ( betul  / salah )
    * Banjir besar yang melanda negeri itu mengakibatkan kerosakan harta benda (betul /
       salah )
10. Mengambil perhatian  atau Memberi perhatian
      Kata mengambil atau ambil digunakan apabila kita akan mendapat sesuatu.
      Memberikan perhatian  = mengambil berat / menumpukan perhatian tentang
      sesuatu.
      * Kamu perlu  ( mengambil / memberikan ) perhatian semasa saya mengajar
      * Pasif = Perhatian perlu kamu ( ambil / berikan ) semasa saya mengajar.

11. Hendak dan Mahu
      Hendak  = adanya tujuan atau niat untuk berbuat sesuatu; keinginan sendiri
      Mahu      = adanya pelawaan atau ajakan ; ada pendorong.
      * Saya  (mahu / hendak ) melantik saudara sebagai wakil  dalam mesyuarat itu .

12. Banyak dan Ramai
      Banyak  = kata adjektif dan kata bilangan ( manusia,  haiwan, benda dll.)
      Ramai   =  kata adjektif ( mempunyai hubungan dengan keadaan riuh-rendah,riang,
      gembira, meriah, serba giat, sibuk, tidak sunyi, dan penduduk yang banyak)
      *Banyak / Ramai orang yang masih tidak memahami peraturan itu.

13. Adalah atau Ialah
      Beliau adalah orang yang pertama tiba di sana  ( X )
      Anak adalah anugerah Allah  ( X )
      Perkara ini ialah masalah yang tidak mudah diatasi ( / )
      Calon-calon pertandingan memasak peringkat akhir ialah… ( / )
      Adalah dimaklumkan bahawa …( X )
      Salah satu usaha yang dijalankan adalah dengan menerbitkan risalah… ( / )
      adalah merupakan …( X )
      adalah digalakkan… ( X ) 
     
   14. Tentang dan mengenai
      * Perdana Menteri sering bercakap ( tentang / mengenai ) wawasan negara
      * Usahlah bercerita ( tentang / mengenai ) keburukan orang lain.
      * Anak panah itu ( tentang / mengenai ) sasarannya.
      * Kamu tidak perlu bercerita ( mengenaiku / tentangku) kepada sesiapa pun.
      = Kata “ tentang” tergolong sebagai kata sendi.
      = Kata “ mengenai” pula bebentuk kata kerja . Apitan menN-...-i yang ada padanya
         dengan jelas menunjukkan bentuk kata itu sebagai kata kerja .
      = Kata ”mengenai” dapat pula beralih golongannya menjadi kata sendi apabila 
         sesuatu frasa nama yang mengikutinya dinyatakan dalam bentuk singkat seperti
         ku, mu dan nya.

15. Perihal  kata memperincikan
      Tahukah anda bahawa rupa-rupanya kata memperincikan tidak ada kaitannya sama
       sekali dengan kata inci, iaitu satu unit ukuran dalam sistem imperial. 
     = Kata memperincikan sebenarnya terbit daripada kata dasar ”rinci”.
     = Menurut kamus makksud ”rinci” ialah memecahkan atau membahagikan sesuatu
        kecil-kecil atau menerangkan atau menjelaskan satu per satu. 

No comments:

Post a Comment