Pengenalan
Pantun berasal dari daerah Nusantara. Maksudnya, pantun tidak berasaskan sumber asing seperti India, China, atau Jawa. Pantun adalah milik orang Melayu, dihasilkan oleh manusia Melayu dan mencerminkan peribadi, nilai, dan minda Melayu. Pantun juga terdapat dalam kebanyakan masyarakat peribumi di seluruh Kepaulauan Melayu, termasuk Selatan Filipina, juga di luar Dunia Melayu seperti Sri Lanka dan Wilayah Thai Selatan (Kajian Zakiah Hanum 1996: 183 dlm. Karya Agung: Bingkisan Permata, 2001: iix). Oleh yang demikian, cara penyampaian pantun atau cara pengekspresiannya juga dengan cara yang kemelayuan atau sekurang-kurangnya kenusantaraan. Maksud pemakalah adalah seperti subtopik yang berikut:
Mimik muka
Oleh sebab pantun khazanah Melayu yang betul (Pendeta Za’ba), maka semasa berpoantun, disyorkan si pemantun hendak bermanis muka, ceria, dan menunjukkan lambang insan yang tenang, berlapang dada, besahaja, dan tidak menggambarkan kegementaran, kekusutan, kesombongan, keangkuhan, dan keegoaan. Sukar bagi saya menggambarkan mimik muka yang sedemikian. Namun demikian, pelakuan (mimik muka) boleh kita praktikkan jika kita mengamalkan cara pertuturan yang biasa dan tahu adat istiadat Melayu semasa bertutur dan mengeluarkan pendapat.
Nada suara
Bunyi dalam setiap baris pantun dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu lembut (rendah) dan keras (tinggi). Segala bunyi yang kedua (suku kata yang akhir bagi setiap perkataan diujarkan dengan nada suara yang tinggi atau keras (1961: 225 – 227). Suku kata yang lain diujarkan dengan lembut. Berdasarkan pendapat dan cara ini, pantun yang diucapkan itu dapat dihayati oleh pemantun dan pendengar.
Sila teliti contoh pantun-pantun yang berikut:
Anak merbah terlompat-lompat
Anak indong ketitiran
Yang dilelah tiada dapat
Yang dikendong berciciran.
Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan
Semua suku kata yang dicetak tebal dan mereng hendaklah ditinggikan nada suara apabila diujarkan. Suku kata yang dicetak biasa hendaklah dilembutkan (nada rendah) suara apabila diujarkan. Demikian juga pantun enam kerat atau lapan kerat, pengujarannya sama seperti penyebutan pantun empat kerat walaupun pantun enam dan lapan kerat kurang diminati oleh pemantun kerana maksudnya memerlukan masa yang lebih panjang untuk difahami. Contoh:
Nyior gading tinggi menjulang,
Masak ketupat berisi inti,
Buah delima di dalam cawan;
Hancur daging berkecai tulang,
Belum dapat belum berhenti,
Hendak bersama denganmu tuan.
Apa diharap padi seberang,
Entah berderai entahkan tidak,
Entah dimakan pipit melayang;
Apa diharap kekasih orang?
Entak bercerai entahkan tidak,
Entah makin bertambah sayang.
Bagi dua rangkap pantun enam kerat di atas, semua baris, iaitu baris keempat, kelima, dan keenam (yang bercetak tebal dan mereng) ialah maksud pantun. Sebagaimana yang dinyatakan, pantun ini walaupun lebih terinci tetapi penghuraian maksudnya lebih panjang. Oleh yang demikian, pantun enam kerat, lapan kerat dan dua belas kerat kurang digemari oleh pemantun kerana lebih lama untuk memainkan nada suara, tinggi dan rendah apabila diujarkan.
Bahasa badan
Bahasa badan atau body language amat sesuai dipraktikkan apabila seseorang berpantun. Hal ini demikian kerana si pemantun akan dapat menggunakan segala kekuatan suara (to express) semasa pantun diujarkan. Bahasa badan yang tidak berlebihan (over acting) adalah digalakkan. Hal ini ada signifikannya dalam penyampaian pantun secara lisan. Pantun yang disampaikan hanya sekadar pernyataan maksud secara berangkap. Oleh itu, jika bahasa badan digunakan secara berlebihan, unsur lakonan pula akan disebatikan dalam pengujaran pantun. Pada hemat saya, aksi yang sebegini kurang sesuai.
Lebih-lebih lagi, apabila kita kaitkan ujaran pantun dengan unsur budaya, betapa lemah lembut orang Melayu berbicara, maka unsur kelemahlembutan ini perlu diamalkan semasa kita berpantun; sekadar mengangkat tangan pada tempat (pembayang dan maksud) yang sesuai dengan sopan. Pelakuan ini boleh disekalikan dengan kerut muka, pandangan, kelipan, dan jelingan mata. Jika yang berpantun seorang wanita pelakuan seperti ini akan memukau khalayak yang menghayatinya. Contoh:
Baris-baris pantun | Cadangan Bahasa Badan |
Apa guna pasang pelita (?) | -tunjukkan pergerakan tangan kanan [tanda tanya] [muka tepat dihalakan kepada pendengar] [mata dengan pandangan biasa] |
Kalau tidak dengan sumbunya | -aksi biasa dengan menunjukkan tapak tangan kanan kepada pendengar [muka tepat dihalakan kepada pendengar] [muka kehairanan] |
Apa guna bermain mata | -halakan jari ke arah mata sendiri [tanda tanya] [muka kehairanan] |
Kalau tidak dengan sungguhnya | -aksi biasa tetapi menunjukkan rasa tidak berpuas hati. |
CADANGAN DAN RUMUSAN
Pantun satu-satunya khazanah bahasa dan budaya Melayu yang indah yang tidak dimiliki oleh bangsa selain bangsa dalam rumpun Melayu. Nilai tradisi Melayu ini (yang dinyatakan oleh Za’ba sebagai yang betul) hendaknya janganlah diabaikan. Jagailah khazanah ini dengan cermat dan perasaan sayang dan cinta. Oleh itu, pemakalah mencadangkan supaya bentuk tradisi pantun Melayu dipatuhi atur peraturannya, iaitu dari sudut bahasa pengucapannya, kesopanan ketika mengujarkannya. Gaya bahasa yang harus dipelihara ialah dari sudut rima tengah dan hujung yang sama dan diksi yang sesuai. Maksud sesuai di sini adalah sesuai dari sudut kelogikan makna dan nilai-nilai hidup yang biasa dalam masyarakat kita.
Dari sudut teknikal pula, bilangan suku kata yang diizinkan dan yang biasa ialah lapan hingga dua belas suku kata ialah teknik yang terbaik untuk pantun Melayu diujarkan. Di samping itu, bahasa yang digunakan ialah bahasa Melayu Baku (ketatabahasaannya) dan sebutan berdasarkan fonemik. Selain itu, kesopanan semasa berpantun amat dituntut kerana di sinilah letaknya kesepaduan nilai estetika dan kesopanan kita yang berbangsa Melayu. Justeru, saya berharap dalamilah ilmu tentang pantun yang terdapat dalam budaya yang murni ini. Semoga dengan penghayatan yang mendalam dan memahami ilmu pantun, kita dapat menggunakan pantun pada masa yang sesuai.
No comments:
Post a Comment