Thursday 21 July 2011

Contoh Latihan Meringkas Karangan


Bahagian A (i) : Ringkasan
(20 markah)

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian tulis sebuah ringkasan tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh mangsa banjir. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Selalunya pelbagai penyakit akan timbul selepas banjir mulai surut. Penyakit yang selalunya dikaitkan dengan banjir ialah penyakit bawaan air seperti cirit-birit, taun, dan juga yang berpunca daripada nyamuk, iaitu denggi. Pihak berkuasa juga telah pun memberikan maklumat terperinci berkenaan penyakit-penyakit yang perlu ditangani segera. Jika tidak penyakit ini akan memberi masalah yang lebih besar kepada mangsa banjir.

Namun kita jangan lupa, masalah mental mungkin juga dihadapi mangsa banjir selepas banjir surut. Berbanding dengan penyakit bawaan air tadi, masalah mental pada kebiasaannya tidak disedari oleh pesakit apatah lagi orang lain. Jika mereka menghadapinya dan mengetahuinya sekalipun, mereka akan cuba menyembunyikannya. Sehinggalah masalah tersebut menjadi terlalu sukar untuk dirawat.

Kita sedia maklum bahawa musibah banjir mengakibatkan sejumlah harta benda musnah begitu sahaja. Sudah pasti hal ini menyebabkan seseorang itu mudah untuk berdukacita kerana perasaan kehilangan sesuatu yang berharga terjadi ke atas diri. Perasaan dukacita inilah yang menyebabkan seseorang itu mudah hilang punca dan sukar untuk menyesuaikan diri. Mereka juga mungkin akan mempunyai perasaan rendah diri yang keterlaluan.

Selain itu pula, ada sebilangan besar mangsa banjir akan kehilangan mata pencarian. Misalnya golongan peniaga jalanan. Mereka sudah pasti antara golongan yang paling teruk terjejas mata pencarian. Hal ini demikian kerana hasil jualan mereka berdasarkan jualan harian. Jika tidak berniaga, mereka pasti rugi. Tetapi jika mereka berniaga pun mungkin sukar untuk mendapat pembeli. Golongan ini perlu diberikan perhatian.

Demikian juga halnya dengan orang yang terlibat dengan sesuatu perniagaan seperti kedai barangan elektrik. Mereka juga akan teruk terjejas kerana peralatan yang hendak dijual telah rosak kerana banjir. Para peniaga ini akan kehilangan mata pencarian dan ada kemungkinan mereka akan mengalami gangguan mental yang hebat. Mereka mungkin cuba menafikannya, namun hakikatnya berbeza.

Semua keadaan di atas memerlukan persediaan mental yang kuat dan mereka memerlukan bantuan agar boleh menjalani hidup seperti sedia kala. Tidak kiralah persediaan menghadapi penyakit atau masalah mental, semua ini memerlukan kekuatan jiwa yang kuat. Semoga mereka yang terlibat banjir ini menjadi orang yang kuat dan tabah.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “ Persediaan Selepas Banjir “
oleh KhairolAnuarMauan dalam Utusan Malaysia,26 Januari 2007)


Bahagian A (ii) : Pemahaman
(10 markah)

Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1.   Apakah maksud rangkai kata mudah hilang punca?                                                 (2 markah)

2.   Mengapakah mangsa banjir menghadapi masalah mental?                                     (4 markah)

3.   Pada pendapat anda, bagaimanakah kita dapat membantu mangsa banjir?         (4 markah)

Jawapan Soalan Pemahaman :

1.   Rangkai kata mudah hilang punca bermaksud ………………………………… .

      - tidak tahu perkara yang harus dibuat
      - tidak tahu apa yang harus dilakukan

2.   Mangsa banjir menghadapi masalah mental kerana…………………………………………  . Selain itu, para peniaga pula mengalami tekanan perasaan kerana…………………………
     
      - berduka cita akibat kehilangan benda
      - mengalami kerugian akibat banjir

3.   Pada pendapat saya, kita boleh membantu mangsa banjir dengan ………………………...  . Selain itu, kita boleh ………………………………………………………….  .

      - menghulurkan derma untuk meringankan masalah kewangan mereka
      - membantu mangsa banjir membersihkan tempat kediaman mereka selepas banjir surut
      - memberikan sokongan moral kepada mereka untuk memulihkan semangat mereka


Langkah :

1.   Kenal pasti kehendak soalan : Masalah-masalah yang dihadapi oleh mangsa banjir
2.   Kenal pasti kata kunci : Mangsa banjir
3.   Bina rujukan yang sesuai : Masalah ini, masalah tersebut, mangsa ini
4.   Kenal pasti isi-isi penting :

Isi 1      : Berhadapan pelbagai penyakit yang timbul selepas banjir mulai surut
Isi 2      : Mudah berdukacita kerana kehilangan sesuatu yang berharga
Isi 3      : Mempunyai perasaan rendah diri yang keterlaluan
Isi 4      : Kehilangan mata pencarian
Isi 5      : Para peniaga mengalami kerugian kerana sukar untuk mendapat pembeli
Isi 6      : Peralatan yang hendak dijual pula rosak


Rangka Jawapan :

Antara + Kehendak Soalan + ialah + KN + ……..Isi 1…….. . Selain itu, masalah inibelaku kerana……..Isi 2…….. . Di samping itu, ……..Isi 3……… menyebabkan masalah ini.Bukan itu sahaja, masalah tersebut juga berpunca daripada……..Isi 4…….. . Seterusnya, masalah ini berlaku kerana ……..Isi 5…….. . Akhir sekali, ……..Isi 6…….. juga menyebabkan masalah oleh masalah banjir.


Jawapan Lengkap :

Antaramasalah yang dihadapi oleh mangsa banjir ialah mangsa berhadapan pelbagai penyakit yang timbul selepas banjir mulai surut. Selain itu, masalah ini berlaku kerana mangsa mudah berdukacita kerana kehilangan sesuatu yang berharga.Di samping itu, mempunyai perasaan rendah diri yang keterlaluan menyebabkan masalah ini. Bukan itu sahaja, masalah tersebut juga berpunca daripada kehilangan mata pencarian. Seterusnya, masalah ini berlaku kerana para peniaga mengalami kerugian kerana sukar untuk mendapat pembeli.Akhir sekali,peralatan yang hendak dijual pula rosak kerana masalah banjir.
                                                                                                (78 patah perkataan)

No comments:

Post a Comment