Saturday 30 July 2011

Ucapan Penghulu Di Majlis Penutupan Kursus KDP4M

Tenang riak air di kali
Hari indah suasana ceria
Kata bermula sejak azali
Lafaz mulia pembuka bicara



Assalamualaikum dan salam sejahtera
Terima kasih saudara pengerusi majlis.
Yang Berbahagia Tuan Hj Yusuf bin Ahmad, Pensyarah Kanan IPG KSAH, Yang Berusaha  Tn Hj Ibrahim bin Bakar, Ketua Jabatan, Jabatan Pengajian Melayu , Yang dihormati En Aznan bin Md Akhir, Ketua Unit LDP IPG KSAH, para fasilitator, para pensyarah IPG KSAH, penyelaras program urus setia kursus,  seterusnya dikasihi rakan-rakan guru para peserta kursus MBM  4 mingu kohot I sekelianI.
Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan rahmat dan izinnya dapat kita bersama-sama berkumpul dalam Majlis Penutupan Kursus MBM 4 Minggu Kohot II, bermula 3 Julai hingga 28 Julai 2011, anjuran IPGSAH, Sungai Petani dengan kerjasama PLGDP, Sungai Karangan.
Hari ini merupakan hari terakhir kita berkampung di PLGDP Sungai Karangan ini sebagai peserta kursus memperkasakan bahasa Melayu dalam pendidikan.  Pelbagai maklumat telah dijanakan untuk kita agar dapat dilaksanakan sedaya yang mungkin ke arah mencapai matlamat dan misi dalam program memperkasakan bahasa Melayu ini. 
Kita perlu sentiasa cakna akan bahasa kita sendiri agar dapat mengembalikan kedudukan bahasa kita ke  tahap yang sepatutnya seperti yang pernah dicapai pada masa dahulu iaitu bahasa Melayu menjadi lingua franca di seluruh Nusantara.  Bahasa Melayu digunakan secara meluas sebagai bahasa komunikasi dan bahasa perdagangan.  Satu kedudukan yang amat istimewa dan mampu menjadikan Melaka muncul sebagai pusat perdagangan entrepot yang  para pedagangnya menggunakan bahasa Melayu dalam urusniaga.  Namun kerancuan bahasa  merupakan senario biasa  kini dan berlaku secara meluas.  Sms misalnya, menjadi suatu ancaman yang menjejaskan kemurnian bahasa. Sehubungan itu, pembelajaran bahasa Melayu di sekolah-sekolah menjadi alat paling ampuh dalam usaha  memperkasakan bahasa kebangsaan ini.
Hadirin sekalian,
Kini, pembelajaran bahasa boleh diolah menjadi lebih menarik dengan bantuan pelbagai alat teknologi.  Kepelbagaian ABM boleh dihasilkan jika kita para pendidik berfikir secara kreatif dan inovatif.  Kita perlu keluar daripada kepompong tradisi dan mempelbagaikan teknologi pendidikan seiring dengan perubahan masa.  Anak-anak didik hari ini mendapat pendedahan yang amat luas berkaitan teknologi. Justeru kita sebagai pendidik perlu sentiasa peka dengan keperluan mereka dan tidak boleh terlalu bergantung dengan kaedah konvensional.  Para pendidik perlu berfikir di luar  kotak dan sentiasa bersedia untuk  bergerak pantas  dan mencapai kemajuan seiring dengan perkembangan semasa. 
Oleh itu, kursus yang dianjurkan oleh pihak JPN  dengan kerjasama IPGM Kampus Sultan Abdul Halim ini merupakan suatu perkongsian bijak dalam usaha menyebarluaskan maklumat untuk digunakan oleh para guru.  Adalah menjadi harapan kita bersama agar semua maklumat dan ilmu yang diperolehi sepanjang kursus ini dapat disebarkan dan dipanjangkan  ke sekolah-sekolah untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran  bahasa Melayu lebih menarik. Banyak bahan dan mutiara ilmu yang dikutip sepanjang berkursus.  Teknik pengajaran menggunakan perisian  teknologi maklumat dan komunikasi seperti blog dan laman sosial bersesuaian dengan mauduk  kursus kita iaitu inovasi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu  melalui TMK. Penggunaan teknologi yang pelbagai ini diharapkan dapat menarik perhatian murid dan menyuburkan kembali kecintaan mereka terhadap bahasa ibunda , seterusnya  bahasa ini  mendapat  tempat yang sewajarnya.
Namun begitu molek rasanya jika pengisian masa dari segi interaksi dengan fasilitator TMK  ditambah supaya kemahiran itu dapat dikuasai dengan lebih efisien oleh para peserta.  Kemahiran photoshop untuk mengedit foto digital dicadangkan agar dapat  dimasukkan sebagai elemen dalam kursus pada masa hadapan.
Hadirin yang dihormati,
Suatu yang bermula pasti ada noktah akhirnya.  Saya mewakili para peserta kursus merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kehadiran Yang Berbahagia Tuan Hj Yusuf bin Ahmad, Pensyarah Kanan IPG KSAH bagi menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus pada kali ini. kalungan budi dan  ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua fasilitator yang terdiri daripada penyarah IPG Kampus Sultan Abdul Halim, kerana sudi meluangkan masa bersama-sama kami berkongsi ilmu pengetahuan dan seterusnya menjayakan kursus ini.  Ucapan yang sama juga disampaikan kepada Jabatan Pelajaran Negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang,  Jabatan Bahasa IPG Kampus Sultan Abdul Halim dan juga semua pihak yang terlibat dengan kursus MBM ini.  Semua memori yang manis dan indah adalah untuk kenang-kenangan  Mana-mana yang terkhilaf dan tersalah harap dapat dimaafkan.
Akhirul kalam, saya ingin mentitipkan pantun empat kerat ini untuk renungan bersama.
Di atas dahan burung tempua
Melihat rusa tepi perigi
Salam perpisahan untuk semua
Di lain masa bersua lagi
Bunga melur  bunga seroja
Bunga siantan kembang di taman
Tangan dihulur maaf dipinta
Budimu tuan ingatan berzaman

Kata orang.
Ada laut ada pantainya,
Ada malam ada siangnya,
Ada suka ada dukanya,
Ada awal ada hujungnya,
Ada pertemuan ada perpisahannya
Mudah-mudahan ada pertemuan kembali selepas ini dalam majlis yang lain pula, insya-Allah.

Saya sudahi ucapan ini dengan wabillahitaufik wal hidayah assalamualaikum wbt

Sekian terima kasih

4 comments:

  1. Thanks for you sharing your thought and experience with us. I have read your blog and let me tell you, your blog gives the best and interesting information.

    Cute Baby Names

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum...
    Saya mohon izin mengambil sedikit kata2 di sini untuk dijadikan teks ucapan wakil peserta bagi Kursus KAP 4/2018. Semoga Allah memberikan kemudahan dan ilmu yang bermanfaat sepanjang perkongsian. Aamiin.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum sis Sy mohon izin mengambil ayat2 Sis di atas untuk digunakan majlis penutup Kursus Memandu PDRM 2020 ❤️ Semoga bermanfaat Tq

    ReplyDelete
  4. T.kasih ats perkongsian. Saya penghuluwati kurss pembngunan profsnlsme

    ReplyDelete